Thursday, November 15, 2007

Jutawan taksub burung


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Taksub dengan kepercayaan karut kononnya boleh membawa tuah, seorang jutawan tempatan sanggup menyeludup masuk 20 burung cenderawasih atau lebih dikenali sebagai ‘burung syurga’ untuk dipelihara di banglonya di Kajang, dekat sini.

Jutawan berusia 40-an terbabit yang kerap berurusan di Indonesia membeli burung yang dilindungi itu dari kepulauan Papua New Guinea dan harga pasarannya mencecah RM20 juta.

Difahamkan, jutawan itu membina sangkar khas selain jaring persis Taman Burung Kuala Lumpur untuk menempatkan semua burung itu yang hanya boleh ditemui di kepulauan berkenaan.

Tindakan jutawan terbabit yang menyalahi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/76 bagaimanapun dihidu pegawai penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang melakukan intipan sejak seminggu lalu.

Timbalan Pengarah Perhilitan, Celescoriano Razond, berkata selepas yakin jutawan itu cuba menyembunyikan sesuatu, sepasukan lebih 10 pegawai penguat kuasa menyerbu rumah mewahnya kira-kira jam 11 pagi, baru-baru ini.

Menurutnya, pegawai Perhilitan bagaimanapun terpaksa menunggu lebih lima jam berikutan pembantu rumah jutawan terbabit mendakwa majikannya tiada di rumah.

“Selepas puas menunggu, akhirnya isteri jutawan terbabit membenarkan pegawai penguat kuasa Perhilitan masuk. Bagaimanapun, suami wanita terbabit tidak berada di rumah dengan alasan mempunyai urusan perniagaan di Korea.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui empat sangkar besar dan tiga sangkar kecil yang mengandungi lebih 100 spesis burung yang dilindungi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, jutawan terbabit turut memasang jaring besar yang menutupi kawasan itu sama seperti Taman Burung Kuala Lumpur dengan menggunakan kren.

“Lebih mengejutkan, jutawan terbabit memelihara 20 burung cenderawasih yang amat sukar ditemui.

“Semua burung itu dipercayai diseludup masuk dari kepulauan Papua New Guinea. Bagaimanapun, jutawan terbabit mendakwa membelinya daripada orang tengah,” katanya.

Katanya, penemuan burung cenderawasih hidup itu dianggap kejayaan terbesar berikutan sebelum ini, Perhilitan hanya pernah merampas burung cenderawasih yang diawet.

“Jika harga burung cenderawasih yang diawet boleh mencecah ratusan ribu ringgit, pasti burung yang masih hidup bernilai puluhan kali ganda.

“Selain burung cenderawasih, jutawan terbabit dikesan memelihara pelbagai spesies burung seperti bayan, enggang, palm cockatoo, scarlet macaw dan dusky lory,” katanya.

Razond berkata, walaupun jutawan terbabit memberi alasan ingin menggunakan semua burung itu bagi membina taman burung atau zoo mini untuk orang ramai, Perhilitan mengesyaki ia mempunyai motif lain.

Ditanya mengenai kaedah menyeludup burung cenderawasih hidup, dia berkata berdasarkan siasatan, penyeludup menggunakan silinder khas untuk menyumbat burung itu ke dalamnya selepas mulutnya diikat.

“Silinder berisi burung itu dimasukkan dalam beg sebelum diseludup ke negara ini sama ada melalui jalan laut atau udara,” katanya.

Menurutnya, ramai masyarakat percaya burung cenderawasih hanya menetap di awan hingga menyebabkan ia diburu peminat barangan ganjil serta pengumpul barangan purba kerana nilai seni serta komersialnya yang cukup tinggi.

“Bagaimanapun, bagi pengamal perubatan Indonesia, burung cenderawasih tiada sebarang keistimewaan luar biasa dan hanya dipandang tinggi segelintir rakyat Malaysia,” katanya.

Difahamkan, tindakan sama pernah diambil Perhilitan terhadap seorang kenamaan bergelar Datuk kerana memelihara hampir 20 burung cenderawasih di pejabatnya di Petaling Jaya, dua tahun lalu.

Kenamaan terbabit didapati tidak mempunyai permit untuk memelihara burung dilindungi itu menyebabkan semua burung miliknya dirampas.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan berusia 70 tahun turut disoal siasat pada 8 Oktober lalu berikutan dikesan memelihara lebih 10 burung dilindungi di rumahnya di Damansara.

Dalam operasi jam 1 tengah hari itu, pegawai penguat kuasa Perhilitan menjalankan pemeriksaan mengejut sebelum menemui dua sangkar besar di belakang rumahnya yang mengandungi hampir 20 burung dilindungi.

Antara burung yang dirampas bernilai lebih RM300,000 itu adalah spesis kuang raya, punai tanah, murai gajah, pikau dan ruak-ruak.

Lelaki terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 68, Seksyen 64 dan Seksyen 66 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/76 yang membawa hukuman denda antara RM3,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga tempoh 10 tahun.

Wednesday, November 14, 2007

Mempunyai sebab untuk berjaya

Kadang-kadang disebabkan sesuatu perkara, kita berjaya mencapai suatu perkara yang lain. Dan biasanya kerana ada sebab musabab tertentu, seseorang itu mencapai kejayaan.

Kita biasa terdengar orang bertanya kepada seseorang yang telah berjaya, "Apakah rahsia kejayaan anda?' Selalunya jawapan yang kita dapati adalah jawapan yang manis-manis belaka. Persoalannya, adakah jawapan itu yang sebenarnya ia menjurus kepada kejayaan mereka.

Saya mempunyai ramai kenalan yang telah berjaya. Salah seorangnya, bermula dari hidup yang terdesak, hutang keliling pinggang, permintaan kehidupan yang tinggi dan anak-anak yang ramai. Tetapi kesemua kesukaran ini ditukarkan kepada kesenangan. Kesusahan yang dihadapinya dijadikan cabaran untuknya. Dia bekerja keras. Membuat pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya, membayar hutang-hutang dan yang penting dia menabung sebahagian kecil pendapatannya. Dia juga cuba membuat perniagaan kecil-kecilan. Baginya perniagaan yang mudah sekali ialah MLM. Dia mencuba berbagai-bagai syarikat MLM, namun satu pun tak menjadi. Akhirnya dia memilih sebuah syarikat MLM yang kecil tetapi berlatar belakang yang stabil. Dan kini telah hampir 8 tahun bersama syarikat itu. Pendapatannya tidaklah banyak katanya. Tetapi dengan pendapatan itulah dia menyara keluarganya, membeli kereta baru, membayar ansuran rumah, melangsaikan hutang-hutangnya bahkan dia dapat menyimpan sebahagian besarnya gaji pekerjaan tetap untuk hari-hari tuanya.

Bagi saya, dia memang seorang yang berjaya. Berjaya mengubah nasib hidupnya yang melarat menjadi seorang yang 'senang', bahkah jauh lebih senang dari orang kebanyakan.

Berbalik kepada pokok tulisan saya ini, adalah penting kita mempunyai sebab untuk berjaya, tetapi tidak perlulah membiarkan hidup kita menjadi susah melarat baru hendak berusaha untuk berjaya.

Kita boleh mencari sebab musabab yang lain untuk berjaya. Dan pastikan ia menjadi pendorong yang begitu kuat untuk menjadi kita berjaya.

#dipetik dari zaihar

 
-