Thursday, December 13, 2007

Industri saham amanah mampu tarik pelabur asing

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Industri saham amanah tempatan mempunyai potensi untuk berkembang dan menarik pelaburan asing, kerana menawarkan kadar pulangan yang tinggi berbanding ekuiti dana global.

Presiden Persekutuan Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM), Tunku Datuk Ya’acob Abdullah berkata, walaupun ramai yang tertarik untuk melabur di luar negara tetapi melabur di Malaysia juga tidak kurang hebatnya.

``Malah dalam banyak kes, kita telah menandingi dana asing dari segi kadar pulangan setahun,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Tahunan Perunding Saham Amanah di sini, hari ini.
Beliau berkata, kadar pulangan dana ekuiti Malaysia untuk setahun adalah tinggi sebanyak 34 peratus begitu juga dengan ekuiti dana Islam sebanyak 33 peratus, berbanding ekuiti dana global hanya menawarkan 12 peratus dan dana ekuiti Asia Pasifik tidak termasuk Jepun pula hanya sebanyak 31 peratus.

Katanya, pertumbuhan industri saham amanah di Malaysia dijangka kekal kukuh pada tahun depan.
Tambahnya, sehingga 30 September lepas, jumlah aset dalam industri saham amanah tempatan mencecah RM155 bilion mewakili 15 peratus daripada keseluruhan pasaran modal Bursa Malaysia.

Kejayaan industri ini juga membayangkan pertambahan jumlah perunding saham amanah tempatan kepada 53,000 orang pada tahun ini berbanding 21,000 orang pada tahun 2005, ujarnya.

0 comments:

 
-